Final Piala Malaysia 2009: Kelantan cipta sejarah pada masa itu..
KEJAYAAN menewaskan Perlis 3-1 seterusnya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2009 merupakan sejarah buat pasukan Kelantan apabila berjaya menamatkan penantian selama 39 tahun untuk beraksi di pentas kemuncak kejohanan bola sepak paling berprestij di tanah air.
Skuad The Red Warriors mara ke final menerusi agregat 5-1, selepas mencatat kemenangan 2-0 pada separuh akhir pertama di tempat sendiri, Selasa lalu.
Sekali pun membawa bekalan agak selesa ke Kangar pada perlawanan di Stadium Utama Negeri malam tadi, Kelantan tidak bermain secara bertahan sebaliknya tenang sepanjang perlawanan sekali pun cuba diasak barisan serangan tuan rumah.
Pada perlawanan itu, Mohd Norfarhan Mohamad muncul wira Kelantan apabila melakukan hatrik di Kangar menerusi jaringan pada minit ke-26, 53 dan 87.
Perlis yang bermain agak tertekan dan kelihatan serba tidak menjadi sepanjang perlawanan memperoleh gol saguhati menerusi Mohd Firdaus Fauzi pada minit ke-70.
Sementara itu, jurulatih Kelantan, B Sathiananthan berkata, kejayaan pasukannya adalah kerana berjaya melakukan serangan balas pantas.
Seperti dijangka, kami sedar Perlis akan mengasak tetapi kelebihan kami ialah ketika melakukan serangan balas pantas dan itulah caranya ketiga-tiga gol kami dihasilkan,
Jurulatih Perlis, Irfan Bakti pula mengakui Kelantan layak menang walaupun tanpa Indra Putra Mahyuddin yang digantung satu perlawanan.
Kesilapan kami ialah melepaskan dua gol awal menyebabkan pemain mula tertekan. Jelas Perlis tidak bermain sebaik seperti di Kota Bharu..
No comments:
Post a Comment